Makan sireh duduk bersila,Sambil duduk bergurau senda,Sekiranya ilmu penuh didada,Hidup tidak gelap gelita.

Saturday 8 September 2012

SELAMAT DATANG


Asalammualaikum
Saya merupakan pelajar 8 PISMP Ambilan Januari 2001 dan sedang menuntut di IPGKPT Kuala Lumpur.
Blog ini dibina bagi memenuhi tuntutan tugasan bagi subjek 
Guru Dan Cabaran Semasa 
yang memerlukan saya membina sebuah blog khasnya untuk proses pengajaran dan pembelajaran murid Pemulihan.
Blog ini sesuai diteroka oleh murid-murid, guru-guru, ibu bapa, pelajar IPG dan sesiapa sahaja. Anda boleh menggunakan segala bahan yang terdapat di blog ini sebagai rujukan.
 Keberkatan Guru Itu  Jambatan  Kepada Kejayaan Muridnya

Apa Itu Pemulihan?


Program Pemulihan Khas ialah satu usaha mengatasi masalah murid yang menghadapi kesulitan pembelajaran khususnya dalam menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira.
Pendidikan pemulihan adalah sebagai satu cabang daripada sebahagian pendidikan imbuhan.Ianya juga disebut sebagai ‘Remedial education’ di dalam bahasa Inggeris iaitu suatu bentuk pendidikan khas kepada kanak-kanak atau pelajar yang menghadapi masalah atau kesulitan pembelajaran dalam mata-mata pelajaran tertentu sahaja.Pendidikan Pemulihan berbeza daripada pendidikan atau pengajaran biasa.
Guru yang mengajar kelas pemulihan adalah guru yang terlatih khas untuk kelas pemulihan. Kelas pemulihan selalunya lebih kecil daripada kelas biasa. Aktiviti yang dijalankan juga khas iaitu menepati kehendak ‘ menjadikan pulih ‘.
Pendidikan Pemulihan adalah satu bentuk pendidikan untuk membetulkan sesuatu yang kekurangan atau membetulkan sesuatu yang tidak betul atau sesuatu yang cacat.


DEFINISI PENDIDIKAN PEMULIHAN
Berbagai-bagai pendapat telah diberikan oleh ahli-ahli pendidik Barat dan tempatan mengenai takrifan pendidikan pemulihan.
Secara lebih khusus, takrif pendidikan pemulihan itu telah diberi dengan pelbagai definisi, antaranya ialah :
i) Sharifah Alwiah Alsagoff, 1983 : 371
‘ satu tindakan khusus yang diambil untuk mengatasi keperluan pendidikan murid yang mengalami kesusahan dari segi pembelajaran dalam darjah khas di sekolah biasa, di pusat khusus yang dihadiri oleh murid secara sambilan, dalam kumpulan yang diasingkan daripada sekolah biasa, dan dalam darjah untuk pengajaran khusus oleh guru pemulihan.’
ii) Ishak Harun & Koh Boh Boon, 1983 : 191
‘ Perkhidmatan khas untuk memenuhi keperluan-keperluan kanak-kanak yang menghadapi masalah-masalah pembelajaran di sekolah-sekolah biasa’ .


TUJUAN PENGAJARAN PEMULIHAN
Berdasarkan Buku Panduan Program Pemulihan Kurikulum Baru Sekolah untuk Tahap Satu Kementerian Pendidikan Malaysia (1984), tujuan utama pengajaran pemulihan ialah untuk:
a) Membantu mengatasi masalah pembelajaran dalam kemahiran-kemahiran tertentu.
b) Membantu murid mengubah sikap yang negatif dan tingkah laku yang menjejaskan pembelajaran.
c) Memupuk serta mengembangkan sikap keyakinan diri dan sikap positif terhadap pembelajaran.

Tujuan-tujuan pendidikan pemulihan adalah:
a) Mengenal pasti pelajar yang memerlukan pemulihan.
b) Untuk mewujudkan alat-alat diagnostik supaya dapat mengesan kesulitan-kesulitan pembelajaran tertentu.
c) Mengeluarkan bahan-bahan kurikulum dan kaedah-kaedah pengajaran yang sesuai untuk memenuhi keperluan setiap kanak-kanak.
d) Mencegah sesuatu kurang upaya supaya tidak menjadi satu kecacatan.
e) Merapatkan hubungan antara guru biasa dan guru khas supaya layanan yang diberi oleh guru khas dapat diteguhkan oleh guru biasa.
f) Membentuk komunikasi yang berkesan dengan pakar-pakar dan agensi-agensi untuk perkembangan optimum setiap kanak-kanak.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...